Friday, May 22, 2009

CERPEN...




"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin. Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah. "Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat. Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagakFulanah langsung tidak selari dengan penampilannya. "Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak. "Tak. Maksud saya…" "Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar. "Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya. Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya."Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut. Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah."Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu."Sudi," jawab Nusaibah ringkas."Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni. "Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu."Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu."Baiklah," jawab Syazni tersenyum. Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya. "Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah. "Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu. "Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya. "Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum. "Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang. Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini. "Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta. "Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut "Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni. "Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya. "Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar. Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang. "PERJUANGAN, " jawab Syazni.
***************
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri… Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam! Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan… Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!
Jika dirimu bakal seorang suami… Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya. Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu… Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!


Thursday, May 21, 2009

LELAKI DAN WANITA....


ETIKA PERGAULAN DAN BATAS PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN WANITA MENURUT ISLAM.


1.Menundukkan pandangan: Allah memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-Nya:

" Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya." (an-Nuur: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, Allah berfirman;

" Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. "(an-Nuur: 31)

2. Menutup Aurat; Allah berfirman :

" Dan jangan lah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. " Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. "(an-Nuur: 31). Juga Firman-Nya; " Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (an-Nuur: 59). Perintah menutup aurat juga ada disebutkan di dalam hadit. Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata:

" Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita;Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-Nya;

" Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab." (al-Ahzaab: 53)

4. Tidak berdua-duaan Di antara Lelaki Dan Perempuan; Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: " Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Dari Jabir bin Samurah berkata; " Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5. Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan): Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman Allah;

" Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik." (al-Ahzaab: 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; " Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh Allah kepada para isteri Rasulullah s.a.w serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)

6. Tidak Menyentuh kaum berlawanan jenis; Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata; "Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginya." (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir). Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; " Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (Ash-Shohihah 1/448) Rasulullah s.aw tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata; " Demi Allah, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat." (Hadis Riwayat Bukhari). Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah s.aw; Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya Allah menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud). Padahal Allah telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-Nya;

"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." (al-Isra: 32)


Hukum Bercouple setelah memerhatikan ayat dan hadis tadi, maka tidak diragukan lagi bahawa bercouple itu haram, kerana beberapa sebab berikut:


1.Orang yang bercouple tidak mungkin menundukkan pandangannya terhadap kekasihnya.

2.Orang yang bercouple tidak akan boleh menjaga hijab.

3.Orang yang bercouple biasanya sering berdua-duaan dengan pasangan kekasihnya, baik di dalam rumah atau di luar rumah.

4.Wanita akan bersikap manja dan mendayukan suaranya saat bersama kekasihnya.

5.Bercouple identik dengan saling menyentuh antara lelaki dan wanita, meskipun itu hanya berjabat tangan.

6.Orang yang bercouple, boleh dipastikan selalu membayangkan orang yang dicintainya.Dalam kamus bercouple, hal-hal tersebut adalah lumrah dilakukan, padahal satu hal saja cukup untuk mengharamkannya, lalu apatah lagi kesemuanya atau yang lain-lainnya lagi?

Wednesday, May 20, 2009

LIRIK LAGU....

Bilakah Damai

Mentari menangis di senja memerah
Bumi anbia menjadi padang jarak
Puing-puing runtuhan berserakan
Asap senjata dan hanyir darah menyesak dada
Tubuh-tubuh layu gugur bergelimpangan
Bertindih dalam kubur tanpa bernisan
Di hujung sana ramai yang kelaparan
Di dera wabak yang menyiksakan
Anak kecil bertanya bimbang
Wajahnya mencerminkan kedukaan
Mengapa lena ibu terlalu panjang?
Bilakah pula ayah akan pulang?
Dia yang tak mengerti apa
Menjadi mangsa pembantaian
Suara tangis menjadi syair sendu
Menyayat dan menyiat perasaan
Bilakan berhenti kekejaman?
Bilakan terhapus penindasan?
Kemana hilangnya kemanusiaan?
Bilakan damai akan menjelang?
Entah bila akan pulih keharmonian?
Sampai bila bersilih penderitaan?
Bila pula akan muncul ketenangan?
Soalan yang masih tiada jawapan

apa yang kita suka??


Salam...apa yang kita suka lakukan? bagaimana kita laksanakan tugasan kita sebagai pelajar dengan sempurna? pastinya setiap orang mempunyai cara yang tersendiri..setiap manusia yang bergelar muslim merupakan seorang pendakwah, bila kita nak laksanakan tugasan kita sebagai seorang pendakwah di samping tugasan sebagai seorang pelajar? sekaranglah masanya...sebagai seorang pendakwah, kita kena bekalkan diri kita dengan pelbagai ilmu pengetahuan sama ada ilmu dunia dan ilmu akhirat...kedua-duanya penting. Sebagai seorang pendakwah juga kita kena berani menegakkan amar ma'ruf dan nahi munkar...Sebagai seorang pelajar dan juga kawan, saya berpesan pada diri sendiri dan kawan-kawan sekalian...marilah kita sama-sama berdakwah dan menegakkan amar ma'ruf dan nahi munkar. sanggupkah kita menjadi penonton di atas setiap kemungkaran yang berlaku di depan mata kita?? fikir-fikirlah sendiri....Allah akan menolong hamba-Nya yang menolong agama-Nya sebagaimana firman Allah dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud : " wahai orang-orang beriman! jika kamu menolong ( agama ) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu"..... wallhua'alm...^_^...

kenali diri sendiri

assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang melayari blog saya yang tidak berapa cantik dan menarik ni...sebelum itu saya memperkenalkan diri saya, nama diberi tuan noraliza binti tuan idris, student tahun dua fakulti pendidikan program pendidikan islam...saya suka berkongsi ilmu dan pengalaman dengan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan dan ideologi yang tidak bertentangan dengan saya dan pastinya tidak bertentangan dengan hukum syarak...sesiapa sahaja...di masa lapang juga saya suka membaca dan menulis...suatu saat nanti saya nak jadi seorang pendidik yang berguna untuk mendidik anak bangsa dan yang pastinya untuk kepentingan agama, negara dan ummah...